Dipenjara setahun gara-gara rasuah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Seorang lelaki warga Vietnam telah dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, setelah dia mengaku bersalah atas pertuduhan memberi rasuah kepada petugas pengawal keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi dalam fakta kes menyatakan bahawa siasatan telah dilakukan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) atas kejadian yang berlaku pada 5 Julai, yang mendedahkan bahawa Phan Anh Duc, 31, yang merupakan petugas sebuah syarikat di Sungai Liang Industrial Park (SPARK) telah didapati membawa sebotol minuman keras oleh pengawal keselamatan di SPARK dan ditahan oleh pengawal keselamatan kerana membawa masuk barangan yang ditegah ke dalam premis SPARK.

Tertuduh menawarkan $40 kepada pengawal keselamatan untuk tidak mengambil tindakan lanjut ke atasnya dan kemudiannya menawarkan $120 kepada pengawal keselamatan lainnya agar tidak melaporkannya kepada pihak yang berkenaan.

Kedua-dua suapan rasuah tersebut ditolak dan tertuduh kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis dan dirujuk ke BMR.

Kes dikendalikan oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid.