Dipenjara setahun, lari dari pusat pengasingan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun kepada pesalah yang melarikan diri dari pusat pengasingan bagi menekankan tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu tidak boleh ditoleransikan.

Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana Haji Abdul Rahman bersetuju dengan hujah Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza Pengiran Latiff mengenai tingkah laku Muhammad Hadi bin Abdullah yang secara terang-terangan mengabaikan usaha kerajaan dalam menubuhkan pusat pengasingan bagi menampung pesakit COVID-19 yang positif dan melindungi orang ramai daripada risiko dijangkiti.

Tertuduh berusia 23 tahun itu mengaku melarikan diri dari pusat pengasingan lalu pergi ke tempat letak kereta Hua Ho Petani Mall bagi mengambil makanan pada hari itu.

Pihak pendakwaan juga menekankan tindakan tertuduh yang sengaja dilakukan kerana dia mengetahui masa tertentu untuk melepaskan diri tanpa dikesan, sementara dia juga berisiko menyebarkan penularan jangkitan kerana dia telah meninggalkan tempat itu tanpa menggunakan atau membawa pelitup muka.

Mahkamah selanjutnya menekankan bahawa insiden itu berpotensi menyebabkan terjadinya kluster baharu dan membawa beban kepada sistem penjagaan kesihatan.

Majistret kanan menekankan bahawa dalam memerangi COVID-19, adalah tanggungjawab setiap individu untuk mematuhi arahan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan.

Tertuduh juga diperintahkan untuk membayar denda sebanyak $1,500 atas kesalahan mengambil Mehtylampehtamine pada bulan September 2018.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan menjalani hukuman penjara tambahan selama 3 bulan.