Dipenjara seumur hidup seludup dadah dalam kasut

BEIJING, 8 NOV – Mahkamah di selatan China hari ini menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas ahli politik Jepun kerana menyeludup dadah dalam kasut yang disimpan dalam beg pakaian yang cuba dibawanya ke negara asalnya.

Seorang lelaki dari Mali dijatuhi hukuman mati dengan penangguhan hukuman dua tahun dan seorang warga Guinea hukuman penjara seumur hidup kerana membawa beg pakaian, menurut Mahkamah Perantara Pertama Bandar Guangzhou.

Takuma Sakuragi, 76, mengaku tidak bersalah dan merancang merayu, kata peguamnya, Chen Weixiong, yang berkata tidak adanya bukti mencukupi untuk membuktikan Sakuragi membawa dadah.

Menurut Chen, seorang kenalan Nigeria meminta Sakuragi membawa apa yang nampaknya beg pakaian yang penuh dengan kasut wanita bersamanya ke Jepun.

Kenalan itu mendakwa beg pakaian itu adalah untuk isterinya, yang bekerja sebagai pereka fesyen di Tokyo, menurut Chen, tetapi sebenarnya dadah methamphetamina telah disembunyikan dalam tumit kasut.

Sakuragi ialah bekas ahli dewan undangan negeri dari Aichi di tengah Jepun. Undang-undang China mengecualikan orang berusia lebih 75 tahun daripada hukuman mati, yang sering dikenakan atas kesalahan berkaitan dadah.

Beliau ditahan pada 2013 apabila kira-kira 3.3 kilogram methamphetamine ditemui dalam bagasinya, kata mahkamah. Sakuragi merancang pergi ke Shanghai untuk penerbangan disambung ke Jepun, katanya.

Dua lelaki lain yang dijatuhi hukuman dikenal pasti dengan nama China – Ali, warga Mali, dan Moxi dari Guinea. Hukuman mati dengan penangguhan dua tahun selalunya dipendekkan kepada penjara seumur hidup.

Mahkamah berkata Ali dan Moxi bertanggungjawab membungkus dan membawa beg pakaian, dan polis merampas 18.15 gram methamphetamine di kediaman mereka.

Media Jepun melaporkan keputusan dalam kes Sakuragi ditangguhkan sementara pihak berkuasa menjejak orang lain yang terbabit. Kesihatan Sakuragi telah merosot, dan sebelum hukuman beliau berharap beliau didapati tidak bersalah, kata Chen. – AP