Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dipenjara seumur hidup

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian lelaki berusia 43 tahun pada Mei 2015.

    Muhammad Zulkifli bin Abdul Jalil pada 4 April 2019 mengaku bersalah kerana menyebabkan kematian Ispawi bin Idris (mangsa) di sebuah rumah di Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan 7, Kuala Belait antara jam 3 dan 3:30 petang pada 20 Mei 2015.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama rakannya, Muhammad Hakimi Rizal bin Abdullah @Eyan Anak Beritin, 33 tahun (sudah meninggal dunia).

    Muhammad Hakimi dilaporkan membunuh diri semasa dalam tahanan polis pada 2 Jun 2015.

    Ketua Hakim Dato Paduka Steven Chong yang menjatuhkan hukuman berpendapat tertuduh patut dikenakan hukuman maksimum iaitu penjara seumur hidup selepas melihat keseriusan kesalahan yang dilakukan.

    Ini bukan satu jenayah yang dilakukan atas dorongan kerana mangsa diumpan untuk pergi ke rumah tertuduh, yang mana motifnya adalah untuk mencuri wang daripada mangsa, kata Ketua Hakim.

    Sebelum kejadian, tertuduh dan Muhammad Hakimi menyediakan pil tidur, racun rumpai dan senjata untuk digunakan pada mangsa.

    Walaupun rancangan untuk mendapatkan wang adalah idea Muhammad Hakimi yang juga memulakan serangan terhadap mangsa tetapi tertuduh turut terlibat sama apabila bertindak memukul kepala mangsa sebaik menyedari mangsa masih hidup, kata ketua hakim lagi.

    Tindakan kejam ini mendedahkan seorang ‘lelaki berbahaya’ yang sanggup membunuh untuk mendapatkan wang.

    Selepas kematian mangsa, isterinya terpaksa bergantung kepada ibu bapanya manakala liabiliti kewangan mangsa terpaksa ditanggung oleh bapa mangsa.

    Fakta yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin dan Siti Nurjauinah binti Haji Kula menyebut, Muhammad Hakimi sekitar Mei 2015 membuat penipuan dengan mewujudkan satu akaun dalam media sosial untuk mencari ‘kenalan’ untuk meminjam wang $3,500.

    Tertuduh menggunakan telefonnya dan memuat naik gambar wanita sebagai profil dengan menggunakan nama ‘Meeza’.

    Pada pagi 19 Mei 2015, mangsa menghubungi ‘Meeza’ yang bersetuju untuk menawarkan khidmat seksual dengan pertukaran wang.

    Ketika tiba di rumah tertuduh, tertuduh memberitahu mangsa yang ‘Meeza’ adalah kakaknya dan dia sedang mandi.

    Tertuduh kemudian memberi air yang mengandungi pil tidur kepada mangsa tetapi mangsa menolak dan menyuruh tertuduh untuk memberitahu ‘Meeza’ supaya cepat.

    Tertuduh kemudian pergi ke tingkat atas dan memberitahu Muhammad Hakimi yang mangsa sudah tidak sabar. Tertuduh kemudian memberitahu mangsa bahawa ‘Meeza’ akan turun ke tingkat bawah sebentar lagi.

    Mangsa yang ketika itu sedang duduk diserang Muhammad Hakimi dari belakang dengan memukul belakang lehernya beberapa kali menggunakan batang besi sehingga tidak sedar.

    Menyedari mangsa masih ‘bernafas’, tertuduh kemudian memukul kepalanya dengan botol semburan rambut dan batang besi.

    Muhammad Hakimi juga menyuntik mangsa dengan racun rumpai dan menetak lehernya menggunakan parang. Selepas mengambil kad ATM, telefon bimbit dan kunci kereta mangsa, tertuduh menutup badan mangsa dengan beg sampah dan tikar sebelum mengangkatnya ke bahagian duduk belakang kereta.

    Muhammad Hakimi memandu ke kawasan belakang sebuah kafe di Jalan Pandan 7 dan meninggalkan kereta tersebut.

    Muhammad Hakimi kemudian menaiki kereta lain yang dipandu tertuduh dan pulang ke rumah.

    Selepas membersihkan kesan-kesan darah di rumah mereka, mereka pergi ke mesin ATM di Seria dan cuba mengeluarkan wang mangsa namun gagal apabila mendapati tidak ada wang dalam akaun mangsa. Mayat mangsa ditemui oleh pekerja kafe yang terhidu bau busuk dari kereta yang ditinggalkan Muhammad Hakimi. Pekerja itu menghubungi polis pada 23 Mei 2015.

    Rakaman CCTV dari mesin ATM menunjukkan tertuduh cuba membuat pengeluaran wang daripada akaun mangsa. Polis berjaya memberkas tertuduh dua hari kemudian. Menurut laporan bedah siasat, kematian mangsa disebabkan oleh pendarahan akibat kecederaan parah pada leher. Hukuman melakukan pembunuhan tanpa niat di bawah seksyen 304 (1) Kanun keseksaan memperuntukkan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga seumur hidup.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda