Dipenjara tiga tahun, dua sebatan pecah masuk rumah

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Dua lelaki yang me-ngaku bersalah atas kesalahan pecah masuk sebuah rumah pada waktu malam untuk tujuan melakukan curi telah dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dan dua sebatan setiap seorang oleh Mahkamah Perantaraan.

Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni memutuskan hukuman itu terhadap Mohammad Arif bin Matussof, 32, dan Ahsawan bin Mohammad Suhaily, 28 tahun yang melakukan kesalahan itu di rumah sama dua kali.

Kedua-dua tertuduh dalam kejadian sekitar Januari 2020 memecah masuk rumah di Kampung Bolkiah A yang tidak berpenghuni, dan mencuri satu penapis air, satu enjin bot 15 kuasa kuda Evin Rude dan satu tong gas.

Kedua-duanya juga mencuri enjin bot 30 kuasa kuda jenis Yamaha dan satu gelen minyak.
Ahsawan menjual enjin bot Evin Rude kepada pembeli di Kampung Saba Darat B dan memperolehi $50 manakala enjin bot Yamaha telah dijual pada harga $300 kepada pembeli di Limpaku, Limbang.

Dia membahagikan separuh daripada hasil jualan enjin bot Yamaha dengan Mohammad Arif dan seorang lagi rakan mereka yang masih bebas dan baki $150 lagi digunakan untuk membeli syabu, yang juga dibahagikan antara mereka.

Dalam kejadian 30 Januari 2020, kedua-dua tertuduh bersama rakan mereka yang masih bebas sekali lagi pergi ke rumah sama untuk melakukan kesalahan.

Kedua-dua tertuduh mencuri alat penyaman udara manakala rakan mereka yang masih bebas telah mencuri dua pukat ikan.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.