Diplomat Vietnam lawat Korea Utara

SEOUL, 12 Feb – Diplomat terkemuka Vietnam akan berlepas ke Pyongyang pada hari ini, menurut Kementerian Luar negara itu, susulan spekulasi bahawa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mungkin mengadakan lawatan rasmi ke negara Asia Tenggara tersebut pada akhir bulan ini, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Kim dijadual bertemu sekali lagi dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Hanoi pada 27 dan 28 Februari.

Menteri Luar, Pham Binh Minh, yang juga Timbalan Perdana Menteri Vietnam, akan berkunjung ke Korea Utara sehingga Khamis atas jemputan rakan sejawat beliau, Ri Yong Ho, kata jurucakap kementerian itu, Le Thi Thu Hang, pada Isnin di akaun Twitter tanpa memberikan butiran lanjut.

Terdapat kemungkinan bahawa Kim akan mengadakan lawatan negara ke Vietnam sejurus sebelum atau selepas pertemuan beliau dengan Trump yang dijangka memfokus kepada penambahan langkah-langkah pembasmian senjata nuklear oleh Pyongyang dan tindakan sepadan Washington sebagai balasan.

Jika Kim berbuat demikian, beliau akan menjadi pemimpin Korea Utara pertama yang melawat Vietnam dalam tempoh 54 tahun.

Kim Il Sung, pengasas negara itu dan yang juga datuk pemimpin Korea Utara ketika ini, telah melawat Hanoi pada Oktober 1964. – Bernama