Dipuji berjaya tahan pemburu haram

KOTA KINABALU, 24 APRIL – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew hari ini memuji anggota penguat kuasa undang-undang di negeri ini atas kejayaan menahan suspek yang terlibat dalam aktiviti perburuan haram baru-baru ini di Tongod dan Tawau.

Liew turut memberi penghargaan kepada polis, RELA, Renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) dan Warden Taman Hidupan Liar Yayasan Sabah atas kejayaan mereka menahan suspek di Kampung Keramuak, Tongod pada Rabu dan di Jalan Sungai Imam, Tawau pada Khamis.

Dalam kes di Tongod, polis menahan dua lelaki setempat berusia antara 30 dan 36 tahun, dan merampas bangkai seekor rusa, sementara di Tawau, tiga penduduk setempat, berusia antara 29 dan 49 tahun ditahan oleh renjer dan warden yang merampas bangkai lima ekor rusa dan potongan
daging.

“Tahniah kepada penguat kuasa undang-undang. Usaha bersepadu sedemikian di pihak mereka patut dipuji. Saya dimaklumkan oleh Pengarah SWD (Augustine Tuuga) bahawa sekatan jalan raya di Tawau dijalankan oleh renjer Jabatan Hidupan Liar dan dibantu warden Taman Hidupan Liar Yayasan Sabah.

“Dan penahanan di Tongod dilakukan oleh pasukan peronda polis yang dibantu anggota RELA. Mereka ketika itu menjalankan rondaan cegah jenayah dan COVID-19 di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dalam kenyataan, di sini.

Liew berkata mesej beliau adalah kegiatan berburu secara haram akan membawa padah kerana lambat laun mereka pasti akan ditahan pihak berkuasa. – Bernama