Oleh Ak Zaki Kasharan
Director’s Cut: Take One merupakan salah satu inisiatif yang dianjurkan oleh Medley House Productions dalam usaha mengembangkan bakat-bakat para belia untuk menghasilkan karya pementasan teater melalui penulisan mahupun cerita-cerita menarik yang berkait rapat dengan kehidupan seharian masyarakat di negara ini.
Seramai 12 orang belia tempatan telah mengambil bahagian dalam pementasan teater berkenaan yang diadakan selama dua hari bertempat di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pada 1 Februari dan 2 Februari 2020 yang lalu.
Tiga buah karya telah dipersembahkan di sepanjang berlangsungnya pementasan teater dalam Bahasa Inggeris tersebut iaitu What The Heck Bill, The Origin of The Solar System dan Troubleshoot.
Pementasan teater yang turut mendapat sokongan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, BigBwnProject, The Vegan Otters dan Panda Brew tersebut juga mendapat sambutan yang baik daripada pengunjung yang rata-rata memuji akan kebolehan barisan para pelakon dalam membawakan watak masing-masing di samping jalan cerita persembahan teater yang begitu matang lagi cukup menghiburkan.
Dalam persembahan berjudul The Origin of Solar System, ia menceritakan mengenai mitos asal penciptaan sekitar sistem awal millenia suria.
Sementara itu What The Heck Bill pula mengisahkan mengenai dua orang adik-beradik yang saling memerlukan antara satu sama lain tetapi terpisah akibat kekangan waktu serta urusan kehidupan masing-masing yang berlainan. Manakala Troubleshoot pula mengisahkan mengenai robot dan penciptanya.
Ketika ditemui pihak media baru-baru ini, Pengurus Projek dan Penerbit, Insan Mardini selaku ketua pegawai eksekutif Medley House Productions antara lain menjelaskan bahawa seluruh pasukan produksi mengambil masa lebih kurang enam bulan bagi merealisasi dan menjayakan Director’s Cut: Take One yang bermula dari perancangan, pemilihan pelakon, penapisan cerita yang digunakan, latihan persembahan pementasan dan bermacam-macam lagi.
Pada tahun 2019 yang lalu, Medley House Productions turut berjaya mengadakan beberapa projek dan pementasan yang berkisarkan mengenai isu bunuh diri dan gangguan seksual.
Insan Mardini memberitahu bahawa melalui pementasan teater yang diadakan baru-baru ini, ia diharap akan dapat memberikan harapan serta memberikan kesedaran kepada orang ramai agar lebih menghargai kehidupan, keluarga, rakan-rakan yang dimiliki setiap seorang daripada individu di dunia ini.
Manakala Pengarah Kreatif Medley House Productions Amirah Herliany menambah bahawa Medley House Productions bukan sekadar syarikat produksi teater semata-mata, malahan ia juga turut mengadakan pelbagai acara kesenian lainnya seperti pameran kesenian dan lukisan, dan lebih kepada mengongsikan cerita-cerita masyarakat yang lebih telus dan asli berdasarkan kehidupan seharian khususnya di negara ini.
Sementara itu Ketua Pegawai Pemasaran Medley House Production Danish Fikri ketika ditemui turut mengongsikan yang Medley House Productions bukanlah merupakan syarikat produksi persembahan teater pertama atau yang satu-satunya di negara ini.
Namun keunikan yang terdapat pada Medley House Productions tersebut adalah keaslian dan ketulenan cerita yang dihasilkan sama ada melalui pengalaman yang dilalui mereka mahupun daripada idea asal daripada penulis skrip sendiri.
Memandangkan dalam beberapa siri projek sebelumnya dan perancangan akan datang merupakan projek yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai medium menyampaikan mesej dan pesanan kepada khalayak ramai, Insan Mardini tidak menolak sebarang kemungkinan jika suatu masa nanti mereka akan menghasilkan pementasan teater dalam dwi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris ataupun menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.
Selepas ini pelbagai projek dan rancangan telah disusun rapi bagi menghiburkan dan memberikan ke-sedaran kepada masyarakat mengenai isu yang terkait dalam kehidupan seha-rian sama ada di negara ini mahupun di dunia secara menyeluruh.




























