Direktori baharu sentuh visi generasi masa depan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Telekom Brunei Berhad (TelBru) mengumumkan bahawa isu direktori telefon bagi tahun ini kini boleh didapati di cawangan-cawangannya di seluruh negara.

Dalam menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-72, TelBru telah memilih A vision for a better future generation sebagai rekaan muka depan direktori yang diinspirasikan daripada aspirasi Baginda Sultan iaitu masa depan Brunei – ‘Kemajuan negara, pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat’.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TelBru, hari ini, semasa tempoh pengedaran, syarikat menggalakkan pemulangan direktori lama tanpa mengira tahun penerbitan termasuk buku-buku lain bagi menyokong kempen kitar semula syarikat berkenaan, apabila orang ramai mengambil direktori baharu.

TelBru dalam kenyataannya turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam atas pendekatan dan sokongan positif dalam membuat perbezaan setiap tahun dengan membawa bahan-bahan kitar semula berkenaan kerana TelBru berhasrat untuk mengekalkan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Bagi pengambilan dalam jumlah besar, orang ramai boleh mengambilnya di Bangunan TelBru di Sumbiling di mana tong-tong kitar semula turut disediakan.

Hasil daripada kempen kitar semula berkenaan akan disumbangkan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam pada penghujung kempen.

Pasukan Yellow Pages dan TelBru semasa melancarkan direktori telefon bagi tahun ini.