Disahkan sembuh meskipun masih positif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Terdapat beberapa kes yang telah dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani pemantauan dan rawatan di pusat-pusat pengasingan yang disediakan.

Sebahagian daripada mereka masih mempunyai keputusan ujian swab yang positif dan perkara ini telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang ramai. Dalam hal itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar meyakinkan orang ramai bahawa walaupun ada di antara mereka yang masih mempunyai keputusan ujian yang positif, mereka telah disahkan sembuh.

Beliau mengulas perkara itu semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Hasil ujian swab mereka menunjukkan mereka tidak lagi boleh menjangkiti orang lain. Walau bagaimanapun, mereka adalah dikehendaki untuk terus menjalani kuarantin bagi tempoh 14 hari setelah pulang ke rumah,” ujar beliau. Dalam kenyataannya juga, Yang Berhormat Dato selaku wakil Kementerian Kesihatan merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan langkah-langkah pengawalan penularan COVID-19 di negara ini.

“Khususnya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, jabatan-jabatan dan agensi yang berkenaan serta semua sukarelawan yang telah sama-sama bebasah bekaring dan bertungkus-lumus untuk melindungi rakyat dan penduduk di negara ini.

“Bersama-samalah kitani berganding bahu demi negara yang kita cintai, hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa abiskita,” tambahnya.