Disangka babi hutan, pemburu maut ditembak

KAPIT, 2 SEPT – Seorang lelaki maut apabila terkena tembakan yang dilepaskan rakan sendiri semasa aktiviti memburu di kawasan hutan Sungai Tanyit, Merit, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa Jembu Selukai, 36, dari Rumah Kilau, Sungai Melilau, di sini, mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan paha kiri akibat terkena tembakan oleh rakannya berusia 45 tahun.

Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian dalam kenyataan hari ini berkata suspek telah menyerah diri di Balai Polis Kapit pagi tadi bersama dengan selaras senapang patah disyaki ‘bakakok’ (buatan sendiri).

Katanya, mangsa meninggal dunia ketika dibawa balik ke kem tempat mereka bekerja. – Bernama