JOHANNESBURG, 29 APRIL – Seorang pemilik ladang kulit putih Afrika Selatan berusia 77 tahun hadir di mahkamah semalam kerana menembak dan mencederakan seorang wanita kulit hitam yang disangkanya badak, menurut polis.
Paul Hendrik van Zyl, ditahan pada Selasa selepas melepaskan tembakan pada wanita yang sedang memancing ikan bersama pasangannya di sebatang sungai di bandar Lephalale, utara wilayah Limpopo. Dia berdepan dakwaan percubaan membunuh, menurut Pihak Berkuasa Pendakwaan Negara (NPA).
“Suspek yang ditahan mendakwa dia sedang menembak badak,” kata jurucakap polis Mamphaswa Seabi dalam satu kenyataan.
Ramokone Linah, 38 tahun, mengalami luka tembakan di lengannya, sementara pasangannya ‘berjaya menyembunyikan diri,’ kata polis. – AFP