Disangka bayam, wanita keracunan makan daun ‘datura’

PARIS, 30 JULAI – Pihak berkuasa Perancis telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya jangan keliru bayam New Zealand dengan bunga yang membawa maut selepas empat ahli satu keluarga diracuni oleh tumbuhan itu.

Empat wanita dimasukkan ke unit rawatan intensif di timur Perancis selepas memakan daun datura, sejenis tumbuhan toksik juga dikenali sebagai ‘Devil’s weed’ dan ‘Hell’s bells’, kata agensi keselamatan makanan Perancis, Anses.

“Empat orang dari keluarga yang sama memasak hidangan menggunakan datura selepas keliru daunnya dengan bayam New Zealand yang ditanam di kebun mereka,” tambah agensi.

Kesemua mereka menunjukkan simptom ‘keracunan serius’ yang termasuk demam, halusinasi, psikosis, sawan dan kadangkala kerosakan buah pinggang.

Mereka semua telah sembuh walaupun seorang ‘memerlukan pemantauan jangka panjang,’ kata agensi.

Datura secara tradisional telah digunakan dalam ilmu sihir dalam kebanyakan budaya, dan biasa ditanam di akhir barisan ubi kentang dalam ekosistem pertanian organik untuk membunuh larva kumbang Colorado.

Wanita berkenaan telah menyemai benih bayam New Zealand dalam kebun mereka pada tahun lalu, menurut kenyataan Anses, ‘tetapi tidak menjadi apabila mereka sangka ia akan bertumbuh.

“Setahun kemudian, mereka mendapati daun kecil muncul di tempat di mana mereka menanam benih dan mengandaikan ia adalah bayam,” tambahnya. – AFP