Disarankan untuk memperbaharui pasport lebih awal

Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri merujuk kepada surat kiriman pembaca yang bertajuk ‘Clarification on Passport Renewal’ oleh Abdul Halim yang disiarkan dalam ruangan ‘Opinion’ di Borneo Bulletin pada 24 Julai lalu.

Pihak jabatan ingin berterima kasih kepada penulis kerana mengemukakan perhatian, kebimbangan dan memerlukan penjelasan mengenai pembaharuan pasport. Pihak jabatan ingin menjelaskan bahawa majoriti negara antarabangsa memerlukan pelancong untuk mempunyai pasport yang sah tidak kurang dari enam bulan.

Justeru, adalah dinasihatkan kepada mana-mana individu untuk memeriksa keperluan pasport (termasuk visa) terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan. Pihak jabatan mengesyorkan individu yang mempunyai pasport yang sah kurang dari enam bulan untuk memperbaharui pasport mereka sebelum melakukan perjalanan bagi mengelakkan masalah yang tidak diingini berlaku.

Pihak jabatan juga ingin menjelaskan bahawa pengeluaran pasport dan lesen memandu mempunyai konsep yang berbeza terutamanya dari segi tujuannya dan oleh itu keperluannya secara umum serta kaitan antara keduanya adalah sangat berbeza.

Justeru, perkara ini akan terus dikaji dan pihak jabatan ingin mengucapkan terima kasih kepada penulis kerana telah mengemukakan kebimbangannya terhadap proses pembaharuan pasport.

Penulis adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke jabatan pada waktu pejabat sekiranya anda ingin membincangkan perkara tersebut lebih lanjut.

Sebagai alternatif, orang ramai boleh menghantar e-mel kepada info@immigration.gov.bn atau hubungi 2381107. – Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Negara