Disebat kerana melakukan perbuatan tidak bermoral

LHOKSEUMAWE, 15 SEPT – Empat lelaki disebat di khalayak ramai hari ini mengikut undang-undang syariah di wilayah Aceh yang konservatif selepas disabitkan kesalahan melakukan perbuatan tidak bermoral.

Hukuman itu dilaksanakan di hadapan pejabat pendakwa raya di Aceh Utara dengan polis bersenjata turut mengawal sepanjang sebatan dijalankan.

Dua daripada pesalah yang berusia 18 dan 21 tahun itu masing-masing dikenakan hukuman sebatan 100 dan 105 kali kerana melakukan hubungan tidak bermoral dengan seorang gadis bawah umur. Pada masa sama, pesalah berusia 18 tahun itu turut dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara selama 10 bulan. Sementara itu, seorang lagi lelaki berusia 25 tahun disebat 75 kali kerana mencabul kehormatan seorang kanak-kanak manakala seorang pemuda berusia 20 tahun menerima 30 sebatan kerana melakukan gangguan seksual.

Keempat-empat lelaki memakai jubah putih dan penutup mulut dan hidung yang berada dalam keadaan melutut ketika disebat oleh pegawai syariah itu turut merintih kesakitan.

Timbalan Ketua Daerah Aceh Utara, Fauzi Yusuf, berkata kerajaan Aceh Utara akan terus menguatkuasakan syariah Islam walaupun bagi penduduk kampung, supaya perkara seumpamanya tidak berlaku lagi di wilayah itu.

Walaupun berdepan pandemik COVID-19, puluhan rakyat masih datang untuk menonton dari jauh sambil mengecam si pelaku ketika hukuman sebat dijalankan. Aceh adalah satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam secara tegas termasuk hukuman sebat bagi kesalahan seperti berjudi, berkhalwat, minum alkohol dan hubungan tidak bermoral. – AFP

Seorang lelaki (kiri), disabit bersalah melakukan perbuatan tidak bermoral, disebat oleh pegawai di Lhokseumabe, Utara Aceh kelmarin. – AFP