Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Seorang lelaki tempatan yang cuba terjun dari tingkap bangunan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, berjaya diselamatkan tanpa kecederaan.
Menurut polis, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi itu, bagaimanapun Balai Polis Pusat menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 9:44 pagi.
Hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa adalah seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun dan punca dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Insiden tersebut telah menjadi tular dalam media-media sosial. Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan malam ini berkata, keadaan tersebut telah dapat dikawal dengan baik oleh kakitangan dan pihak sekuriti hospital.
Pesakit berkenaan pada masa ini berada dalam keadaan selamat dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital yang sama.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak turut menyebarluaskan lagi gambar-gambar kejadian tersebut bagi menjaga dan menghormati pesakit berkenaan.