Disember, Januari kerap dilanda hujan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Negara Brunei Darussalam kini berada di musim monsun timur laut yang biasanya akan berlangsung hingga bulan Mac di mana dua bulan pertama Monsun Timur Laut iaitu Disember dan Januari, yang juga dikenali sebagai musim hujan, biasanya mempunyai jumlah hujan tertinggi berbanding bulan-bulan lain.

Sepanjang tempoh itu, keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan lebat sekali-sekala terutama pada waktu malam dan pagi.

Sehubungan dengan itu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) mengingatkan kepada orang ramai terutamanya semasa musim cuaca tidak menentu dan pada musim percutian sekolah supaya meningkatkan keselamatan mereka sama ada untuk beriadah atau bercuti keluar negeri bersama keluarga atau ke mana sahaja mereka pergi.

Menurut statistik JBP yang dicatatkan sepanjang Januari hingga November, sebanyak 6,744 panggilan telah diterima dari seluruh daerah di negara ini.

Oleh itu, JBP dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyarankan kepada orang ramai untuk lebih peka dalam mengetahui mengenai aspek keselamatan kebakaran serta juga keselamatan lain secara umumnya.

Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa antara panggilan kecemasan yang diterima dari Januari hingga November ialah kebakaran bangunan iaitu sebanyak 47 panggilan di mana anggaran kerugian sebanyak $54,130, kebakaran rumah (68 panggilan) dengan anggaran kerugian sebanyak $3,934,600 dan seorang kecederaan dicatatkan, kebakaran elektrik (57 panggilan) dengan anggaran kerugian sebanyak $968,615, rumah roboh (14 panggilan) dengan tiga orang kecederaan dicatatkan serta gas bocor (26 panggilan) dengan anggaran kerugian sebanyak $25,100 dan dua orang kecederaan dicatatkan.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa punca-punca kebakaran rumah dan bangunan dipercayai disebabkan oleh peralatan elektrik, masakan yang ditinggalkan, perunan atau kebakaran rumput yang melarat, saluran hos gas bocor atau longgar, puntung rokok serta kanak-kanak bermain api.

JBP turut menerima 40 panggilan berhubung kejadian kemalangan kereta dengan kecederaan seramai 34 orang dan kematian lima orang.

Manakala itu, bagi kejadian kebakaran kereta pula, sebanyak 80 panggilan dengan anggaran kerugian sebanyak $413,771 di mana dua kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Bagi pengguna jalan raya, punca utama bagi berlakunya insiden kebakaran kereta adalah kesalahan dan kecuaian manusia iaitu kurang pengetahuan dalam pemilihan alat ganti komponen kereta dan meninggalkan benda dalam kenderaan terutama yang boleh menyebabkan kepanasan yang berlebihan (overheat) seperti power bank, selain punca lain adalah kurang pemeliharaan kenderaan.

Kenyataan menyatakan bahawa semasa musim cuaca tidak menentu jabatan berkenaan juga menerima panggilan bagi kejadian pokok tumbang sebanyak 491 panggilan, tanah susur (19 panggilan), mencari dan menyelamat orang sesat (21 panggilan) di mana seorang dilaporkan cedera dan seorang lagi dilaporkan mati, bagi mencari dan menyelamat mangsa lemas, enam panggilan diterima di mana dua orang dilaporkan cedera dan enam lagi dilaporkan mati serta atap terbang (21 panggilan) diterima.

Dalam hubungan itu, JBP menyarankan orang ramai perlu untuk mengetahui mengenai keadaan cuaca dari semasa ke semasa daripada aspek keselamatan diri dan keluarga.

Semasa melakukan aktiviti di pantai atau di perairan, dinasihatkan untuk tidak berenang terlalu jauh dari pantai, awasi anak-anak, pastikan memakai jaket keselamatan jika mereka bermain jet ski atau papan luncur.

JBP menyeru kepada pengusaha perahu tambang dan nelayan hendaklah memakai jaket keselamatan termasuk penumpang dan memasang lampu semasa waktu malam atau ketika keadaan cuaca gelap.

Manakala itu, kejadian tanah susur adalah berkaitan dengan keadaan cuaca turunan hujan yang berpanjangan. Untuk keselamatan, jika kedudukan rumah mereka berada di atas atau di lereng atau bawah bukit, mereka harus memantau keadaan kawasan atau tanah sekeliling rumah mereka dan tanah bukit yang berdekatan dan sentiasa bersedia untuk sebarang tindakan jika mendapati terdapat hakisan tanah.

Sementara itu, jika berlaku angin kencang, orang ramai dinasihatkan untuk tidak berhenti atau meletakkan kenderaan di kawasan yang berisiko seperti bawah pokok, tiang elektrik atau mana-mana objek yang tinggi.

Orang ramai juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih bertajuk ‘Safety Guide’ sebagai panduan asas kecemasan dan keselamatan awam yang disediakan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan dan menghubungi terus Talian Kecemasan 995.