Diserang dron, operasi di saluran paip utama ditangguh

Riyadh, 14 Mei – Ketua OPEC, Arab Saudi mengatakan ia telah berhenti mengepam minyak mentah di sepanjang saluran paip utama hari ini berikutan serangan dron, beberapa jam selepas pemberontak Huthi Yaman berkata mereka telah menyasarkan kemudahan Saudi yang penting itu.

Menteri Tenaga Khalid al-Falih berkata dua stesen pam pada saluran paip dari Wilayah Timur yang kaya minyak hingga ke Laut Merah telah disasarkan awal hari ini.

Saluran paip penting itu mempunyai kapasiti kira-kira lima juta tong sehari.

“Aramco Saudi mengambil langkah berjaga-jaga dan menangguhkan sementara operasi saluran, sambil menilai situasi dan berusaha untuk memulihkan operasi stesen pam dan saluran paip yang terjejas,” kata Falih dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita SPA.

Saluran paip sepanjang 1,200 kilometer itu membawa minyak mentah dari medan minyak utama timur Arab Saudi ke bandar pelabuhan Laut Merah Yanbu di barat.

Ia telah ditubuhkan beberapa dekad lalu sebagai alternatif untuk eksport minyak mentah Saudi jika Selat Hormuz yang strategik di pinggir Teluk ditutup.

Stesen-stesen pam dilaporkan telah disasarkan di sebelah barat bandar Riyadh, di Dawadmi dan Afeef.

Pemberontak Huthi Yaman berkata hari ini mereka telah menyerang beberapa sasaran penting Saudi menggunakan dron.

Laporan serangan saluran paip itu muncul di tengah-tengah ketegangan di Teluk, berikutan serangan misteri bersiri ke atas kapal-kapal di pesisir UAE dan pengerahan tentera AS ke rantau itu. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 9 Januari 2019 menunjukkan Menteri Tenaga Saudi, Khalid al-Falih bercakap semasa sidang media di bandar Riyadh. – AFP