BERLIN, 26 OGOS – Polis Jerman sedang menyiasat serangan harimau bintang ke atas seorang peragawati yang mengalami kecederaan serius semasa menjalani penggambaran, lapor agensi berita dpa hari ini.
Tumpuan adalah pada tuan punya harimau bintang berusia 48 tahun yang terlibat dalam serangan itu, salah seekor daripada dua harimau bintang yang dibelanya bersama haiwan lain di halaman rumah di bandar Nebra di timur Jerman, kata dpa.
Model berusia 36 tahun itu mengalami kecederaan di kepala semasa serangan pada Selasa dan dibawa ke klinik khas dengan helikopter.
Tuan punya haiwan sedang disiasat kerana disyaki bersikap cuai.
Seorang pegawai kesihatan awam melawat tapak kejadian semalam untuk memeriksa sama ada haiwan itu dikurung dengan betul dan sama ada bangunan tersebut mematuhi peraturan yang ditetapkan, lapor agensi itu.
Pengendali haiwan itu memiliki harimau bintang itu sejak 2019 dan bekerja selama 20 tahun sebagai pelatih haiwan untuk sarkas dan taman hiburan, lapor agensi berita.
Namanya dan juga mangsa tidak didedahkan sejajar dengan peraturan privasi Jerman. – AP