GEORGE TOWN, 19 OGOS – Disiplin pasukan Penang FC perlu diperketatkan lagi khususnya di bahagian pertahanan, menurut Ketua Jurulatih Datuk Zainal Abidin Hassan.
“Saya tahu mereka mahu menang tapi kami harus mempunyai disiplin yang lebih tinggi apabila bermain dengan satu pasukan yang sedang meningkat dan mempunyai jentera serangan yang baik.
“Mereka tetap bersemangat dan berlawan sehingga ke saat akhir walaupun masih memberi kesilapan seperti gol yang mudah untuk pasukan lawan.
“Ini bermakna disiplin perlu diketatkan lagi khususnya di bahagian pertahanan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang malam tadi menyaksikan Penang tewas 2-3 di Stadium Bandaraya di sini semalam.
Sementara itu, katanya beliau membuat perubahan drastik dari segi penyusunan pemain menempatkan Mohd Faiz Subri di barisan utama untuk digandingkan dengan Lucas Espindola Da Silva. – Bernama
