Disney catat kerugian suku tahun ketiga

LOS ANGELES, 5 OGOS – Walt Disney kelmarin melaporkan syarikat itu mengalami kerugian yang ketara pada suku tahun ketiga 2020 akibat penularan wabak COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Pendapatan keseluruhan Disney dalam tempoh tiga bulan berakhir 27 Jun merosot 42 peratus tahun ke tahun kepada AS$11.78 bilion. Pendapatan sesaham turut menyaksikan kerugian AS$2.61 berbanding pendapatan 79 sen pada suku tahun sebelumnya, menurut kenyataan syarikat itu. Disney mencatatkan keuntungan 3.5 bilion dolar untuk pendapatan operasinya, penurunan 85 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“COVID-19 memberi kesan dan langkah-langkah pencegahan yang diambil mempengaruhi segmen kami terutamanya untuk aktiviti seperti di taman tema,” kata syarikat itu.

Pada pertengahan Mac, Disney menutup taman dan resort di Amerika Utara, perniagaan kapal pesiaran dan Disneyland Paris manakala taman dan resort di Asia ditutup lebih awal.

Taman tema Disney di China, termasuk Shanghai Disneyland dan Hong Kong Disneyland, ditutup sejak Januari. Shanghai Disneyland dibuka semula pada 11 Mei sementara Hong Kong Disneyland dibuka akhir Jun tetapi ditutup kembali pada Julai.

Pendapatan Studio Entertainment untuk suku tahun itu juga menurun 55 peratus menjadi AS$1.7 bilion. – Bernama