Disneyland California dibuka bulan depan

LOS ANGELES, 11 JUN – Disneyland di California mengumumkan rancangan untuk membuka semula taman tema itu secara bertahap mulai bulan depan, tetapi pada kapasiti ‘terhad’ dan tanpa peluang untuk memeluk watak Mickey Mouse atau Donald Duck untuk sementara waktu ini.

Di bawah rancangan itu, yang masih memerlukan persetujuan kerajaan, taman tema berhampiran Los Angeles, termasuk Disneyland dan Disney California Adventure, akan mengalu-alukan pelawat mulai 17 Julai.

Disneyland ialah taman tema kedua terbesar di dunia, menarik puluhan ribu pelawat setiap hari, namun ia ditutup pada pertengahan Mac disebabkan krisis koronavirus.

Tindakan itu menyusuli pembukaan semula Shanghai Disneyland pada bulan lalu, dan mengikuti jadual masa yang sama dengan pembukaan Disney World di Florida, yang telah pun menerima kebenaran dari kerajaan.

Apabila taman California dibuka semula, semua pelawat perlu membuat tempahan awal, dan langkah penjarakan sosial bermakna tidak ada perarakan atau ‘pertunjukan malam’ sehingga tarikh kemudian.

“Sementara sesi bertemu-dan-bersapa dengan watak tidak disediakan buat sementara waktu ini, watak-watak akan berada di taman dalam cara baharu untuk menghiburkan pengunjung,” kata Disney dalam satu kenyataan.

Hotel-hotel di tapak akan dibuka semula pada minggu berikutnya di bawah skim tersebut. – AFP