Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Sebahagian dapur sebuah bangunan mengalami kerosakan dalam kejadian kebakaran bangunan di Jalan Ong Sum Ping, pagi tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, menyatakan seramai 13 orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan dan Balai Bomba Beribi yang diketuai oleh SO Abdul Majid bin Haji Abdul Wahab, dikejarkan ke insiden kebakaran bangunan di Jalan Ong Sum Ping pada pukul 9:41 pagi.
Apabila sampai di tempat panggilan, anggota bomba dan penyelamat mendapati asap tebal di tingkat tiga yang mana kebakaran melibatkan sebuah dispenser air lalu merebak ke sebahagian dapur.
Anggota bomba segera bertindak dengan memakai alat pernafasan dan memadam dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering dan membuka jendela bagi mengeluarkan asap di dalam bangunan berkenaan.
Dalam kejadian berkenaan, tidak ada kemalangan jiwa berlaku di mana punca dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.
JBP dalam kenyataannya menyarankan orang ramai supaya memastikan bangunan mereka dilengkapi peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringkas jenis debu kering empat kilogram dan selimut api, memastikan untuk menutup suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, memastikan penyimpanan bahan-bahan yang mudah terbakar di satu tempat dan lebih teratur dan mengamalkan tatacara pengemasan yang baik serta sering menjalankan pembersihan di kawasan
bekas sisa-sisa bahan berbahaya.
JBP turut menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba, Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.
Orang ramai juga disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan untuk menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.