Ditahan akibat senarai serangan palsu

SYDNEY, 4 Dis – Abang kepada bintang kriket Australia, Usman Khawaja, ditahan polis anti-pengganas di Sydney bagi membantu siasatan berhubung senarai serangan palsu.

Berpunca daripada perbalahan merebut wanita, polis mendakwa Arsalan, 37, mengarang dokumen mengenai serangan itu dalam usaha merangkap rakannya, lapor agensi berita Xinhua.

“Kami percaya ia dirancang dan diatur,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis New South Wales, Mick Willing pada sidang akhbar di Sydney, hari ini.

“Hasil siasatan berhubung perkara itu, kami tidak mendapat sebarang maklumat membayangkan memang benar wujud ancaman terhadap komuniti.”

Pada Ogos lalu, warga Sri Lanka, Mohamed Kamer Nilar Nizamdeen, 25, didakwa dengan beberapa pertuduhan jenayah keganasan dan ditahan selama sebulan selepas pihak berkuasa menemui buku nota yang didakwa mengandungi perincian plot pembunuhan tokoh tertentu termasuk perdana menteri ketika itu, Malcolm Turnbull.

Kes itu mendapat perhatian media selepas polis melancarkan gerakan besar-besaran menyerbu kampus Universiti NSW tempat lelaki malang itu bekerja.

Pada September lalu, semua pertuduhan terhadap lelaki itu digugurkan.

Meskipun pihak berkuasa berkata mereka kesal berhubung kesilapan itu, Penolong Pesuruhjaya Polis Australia, Ian McCartney menjelaskan, polis terpaksa bertindak pantas disebabkan ancaman serius terhadap tokoh dan lokasi pelancongan negara berkenaan.

Arsalan akan didakwa atas tuduhan membuat kenyataan palsu dan cuba menggugat keadilan. – Bernama

Reaksi Arsalan Khawaja (tengah) meninggalkan Balai Polis Parramatta di Sydney, kelmarin. – AFP