Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Dua orang warganegara asing telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan dokumen yang sah semasa Operasi Tumpas yang dilaksanakan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang di dua lokasi yang berasingan di kawasan Mukim Gadong.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JIPK, hari ini, kes-kes kesalahan imigresen yang didapati dan direkod dalam tempoh lima tahun bermula dari tahun 2018 hingga bulan September 2022 terdiri daripada kesalahan seperti menyalahgunakan pas lawatan, menyalahgunakan pas kerja, menyalahgunakan pas kerja (bekerja sendiri), gagal memberikan pekerjaan, dan bersubahat melakukan kesalahan-kesalahan imigresen.
Secara keseluruhannya, seramai 1,694 orang didapati telah melakukan kesalahan sepanjang tempoh tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan pelanggaran pas imigresen atau pekerjaan yang ditawarkan oleh pekerja asing bolehlah menghubungi JIPK di talian 8734888 dan 8753888 dan maklumat adalah dirahsiakan.
