Ditahan gara-gara 5G bawa COVID-19

LIMA, 14 JUN – Penduduk kampung di Peru telah membebaskan lapan juruteknik dari pembekal jalur lebar Gilat Peru yang ditahan berhubung kebimbangan mereka sedang memasang teknologi 5G, yang didakwa oleh penduduk tempatan bertanggungjawab cetuskan koronavirus, kata polis semalam.

Lapan kru penyelenggaraan telah ditahan sejak Rabu oleh penduduk kampung di wilayah Acobamba, lebih 500 kilometer dari tenggara ibu negara Lima.

“Kesemua mereka telah dibebaskan,” beritahu Leni Palacios dari polis Huancavelica kepada AFP, menambah pekerja berkata mereka berada dalam keadaan baik.

Palacios berkata pembebasan pekerja berlaku selepas satu mesyuarat di antara penduduk tempatan dan suruhanjaya yang terdiri daripada pegawai daripada Kementerian Pengangkutan, kerajaan serantau dan Gilat Peru.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan Jose Aguilar memberitahu Radio RPP bahawa Peru tidak mempunyai antena 5G, dan mereka tidak dikaitkan dengan COVID-19.

Penduduk tempatan di Chopca memberitahu kru membaiki bahawa mereka tidak dibenarkan tinggalkan kampung sehingga mereka merobohkan antena yang dipasang di Acobamba.

Wilayah Acobamba, yang mempunyai ketinggian 4,000 meter di atas paras laut, mencatat salah satu kadar jangkitan terendah di negara itu. – AFP