Ditahan gara-gara bergurau bawa bom

MIRI, 19 SEPT – Gara-gara gurauan membawa bom seorang lelaki tempatan telah ditahan polis di Lapangan Terbang Miri pukul 8:10 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan apabila mendakwa membawa bom ketika mendaftar masuk untuk penerbangan ke Kuala Lumpur pagi ini.

“Suspek telah ditanya sebanyak tiga kali sama ada membawa ‘powerbank’ namun dijawab dengan jawapan yang sama iaitu ada membawa bom,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lim berkata, atas faktor keselamatan kakitangan syarikat penerbangan murah yang bertugas di kaunter berkenaan telah meminta anggota keselamatan untuk menahan suspek dan membawa ke balai polis Lapangan Terbang Miri.

“Pemeriksaan telah dibuat ke atas bagasi tersebut dan mendapati dakwaan suspek membawa bom tidak benar,” katanya sambil menyatakan suspek akan direman petang ini dengan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – Bernama