Ditahan jilat barang runcit bernilai AS$1,800

LOS ANGELES, 9 APRIL – Seorang wanita California ditahan selepas menjilat barang runcit dan barangan lain bernilai AS$1,800 di sebuah pasar raya di utara negeri ini.

Jurucakap polis South Lake Tahoe, Chris Fiore memberitahu AFP, anggota polis dipanggil ke pasar raya Safeway selepas mendapat laporan ‘pelanggan menjilat barangan runcit’ yang mendatangkan kebimbangan ketika penularan wabak COVID-19.

“Ketika anggota polis tiba, seorang kakitangan Safeway memberitahu mereka, suspek meletakkan pelbagai barang kemas milik pasar raya itu di atas tangannya.

“Suspek kemudian menjilat barang kemas itu sebelum memasukkan barangan lain dari kedai ke dalam troli yang dibawa,” katanya.

Fiore berkata, anggota polis dapat mengesan suspek yang dikenali sebagai Jennifer Walker, di dalam pasar raya dengan troli dipenuhi barang termasuk daging dan minuman keras.

Namun, wanita itu tidak berniat membelinya. – AFP

Jennifer Walker. – Agensi