Ditahan miliki barangan tidak diisytiharkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Seorang lelaki warga asing telah ditahan apabila dipercayai cuba untuk melarikan diri semasa pihak polis menjalankan kawalan di simpang tiga Kampung Rataie, Daerah Temburong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), suspek tidak memberhentikan kenderaan yang dipandu serta meluru laju semasa operasi kawalan yang dikendalikan keanggotaan Balai Polis Temburong.

Suspek berjaya ditahan di kawasan Kampung Sibulu dan pemeriksaan mendapati sejumlah bungkusan hitam dipercayai barangan yang tidak diisytiharkan iaitu barangan ayam mentah seperti kepak ayam, nuget, sosej dan sebagainya.

Kesemua barangan yang ditemui dirampas dan suspek dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan lanjut dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH).

Sejumlah bungkusan hitam dipercayai barangan yang tidak diisytiharkan. – Gambar serahan PPDB