Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun telah ditahan setelah dipercayai terlibat menyewakan akaun bank dan penyewaan talian telefon untuk kegunaan kegiatan-kegiatan yang melibatkan perjudian dalam talian.
Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan dan Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sedang menjalankan siasatan mengenai kes yang melibatkan penyewaan akaun bank persendirian berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, siasatan awal juga mendapati, taktik ataupun modus operandi yang digunakan oleh sindiket berkenaan adalah dengan menghantar pesanan ringkas (SMS) menggunakan nombor talian negara asing kepada nombor-nombor talian tempatan secara rambang dengan menawarkan penyewaan bank akaun persendirian dengan bayaran sekitar $200 ke $250 sebulan dan sebanyak $50 hingga $60 bagi penyewaan talian telefon.
Jika ada yang berminat, perjumpaan akan dibuat bagi menyerahkan kad ATM atau kad SIM telefon kepada sindiket berkenaan.
Oleh yang demikian, PPDB menegaskan dan menasihatkan orang ramai agar tidak menjadi mangsa kepada tawaran dan rayuan kegiatan sindiket tersebut dengan tidak menyewakan nombor talian persendirian untuk kegiatan perjudian atau berunsur jenayah, jangan menyalahgunakan Internet atau mana-mana platform media sosial bagi kegiatan jenayah dan tidak menyewakan atau memberikan akses akaun bank peribadi untuk kegiatan jenayah.
Kegiatan perjudian secara dalam talian ini sentiasa mendapat perhatian umum dan jika tidak dibanteras akan mendatangkan kesan buruk kepada negara.
Kenyataan menambah, PPDB akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini.