LONDON, 8 Mac – Seorang peminat Manchester United menjalani pembedahan selepas ditikam oleh pemandu teksi selepas kemenangan yang menakjubkan kelab Inggeris itu ke atas Paris Saint-Germain, menurut laporan Sky Sports kelmarin.
Sumber pihak polis Perancis mengesahkan kepada AFP, lelaki tersebut mengalami kecederaan selepas bertengkar dengan pemandu teksi pada Rabu lalu tetapi keadaannya itu dipercayai tidak mengancam nyawa.
Menurut laporan Sky Sports, peminat yang berusia 44 tahun itu berkunjung ke bandar Perancis bersama tiga rakannya apabila pemandu tersebut mengecam tindakan mereka meraikan kemenangan United 3-1.
“Pemandu teksi itu bertindak untuk berhenti dan mengarahkan mereka keluar daripada teksi sebelum mengeluarkan sebilah pisau dan mengancam penumpang wanita,” menurut Sky.
“Mangsa tikam cuba untuk ikut campur bagi melindungi wanita itu tetapi pemandu itu sebaliknya bertindak menikam lelaki itu di bahagian dada menggunakan ‘pisau yang besar’.” – AFP

































