KUALA LUMPUR, 2/3 Februari 2002 – Ketika kebanyakan masyarakat akan bersikap berhati-hati mengenai batu ajaib yang menyembuhkan semua penyakit, sesetengahnya di Malaysia terus menjadi mangsa kepada skim tidak jujur itu, menurut laporan berita hari ini.
Dalam kejadian terbaru, seorang wanita berusia 69 tahun kehilangan RM28,000 pada hujung minggu untuk membeli batu yang dipercayainya dapat menyembuhkan kanser paru-paru, lapor akhbar The Sun.
Mangsa itu, hanya dikenali sebagai Wong berkata, seorang wanita menemuinya di sebauh pasar meminta arah ke salun kecantikan, di mana beliau dikatakan bertemu seorang kawan yang menghidapi kanser.
Wong tidak tahu di mana salun itu, tetapi dipujuk supaya bertanyakan seorang lelaki berhampiran, dipercayainya rakan subahat wanita penipu itu, untuk menunjukkan arah.
Lelaki itu juga berkata beliau tidak tahu di mana salun berkenaan dan ketiga-tiganya terbabit dalam perbualan apabila diketahui wanita itu mempunyai batu ajaib.
Seorang lagi bersubahat membawa kereta menghampiri mereka dan Wong dibawa masuk dalam kereta. Sebaik sahaja dalam kenderaan, satu ‘ujian’ dijalankan dengan Wong diberitahu bahawa beliau menghidap kanser paru-paru.
Untuk membuktikannya, wanita itu menunjukkan batu ajaib dan menggosoknya ke dahi Wong sebelum meletakkannya dalam sebuah mangkuk berisi air dan kemudian air itu bertukar warna hitam. Ujian yang sama dilakukan ke atas dua lelaki berkenaan tetapi tiada apa-apa berlaku.
Kedua-dua lelaki itu kemudian ‘berebut’ batu tadi sebelum wanita berkenaan mencadangkan agar Wong sahaja yang memilikinya kerana beliau ‘menghidap sakit berbahaya’.
Wong kemudian pergi ke bank dan mengeluarkan wangnya kerana percaya hikmat batu itu. Apabila membuka pek berkenaan, apa yang ditemuinya hanyalah coklat.
“Saya benar-benar tertipu,” katanya.