Dituduh lesapkan wang bantuan COVID-19 dalam judi

LOS ANGELES, 17 JULAI – Seorang lelaki California diberkas dan diarahkan ditahan tanpa ikat jamin semalam kerana memperoleh kira-kira AS$9 juta secara menipu dalam dana bantuan koronavirus dan menggunakan wang tersebut untuk berjudi di Las Vegas.

Andrew Marnell, 40, penduduk kawasan Beverly Grove di Los Angeles, didakwa menghantar beberapa permohonan pinjaman secara tipu berhubung pandemik koronavirus dan memperoleh wang bernilai berjuta-juta dolar dalam Program Perlindungan Gaji.

Pendakwa berkata dia menggunakan wang yang diperoleh untuk membuat pertaruhan dalam pasaran saham berisiko dan menghabiskan ratusan ribu dolar berjudi di Hotel dan Kasino Bellagio serta tempat perjudian lain di Las Vegas pada hujung minggu lalu. – AFP