Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun- Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan melakukan kerosakan pada kereta milik abangnya.
Tidak ada pengakuan direkodkan daripada Mohammad Shahiful Rizal bin Awang Bakri, 31, yang didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Perpindahan Lambak Kanan pada 7 Mei 2018.
Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud membuat permohonan di hadapan Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim untuk tertuduh ditahan reman bagi siasatan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Hukuman Jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
Kes akan disebut semula pada 3 Julai depan.

































