Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    DJ Dave penghibur sepanjang zaman

    PETALING JAYA – Tanggal 14 Februari adalah hari istimewa buat penyanyi terkenal negara, Datuk DJ Dave kerana ia adalah hari ulang tahun kelahirannya dan sejak 50 tahun lalu, beliau meraikannya bersama golongan kurang bernasib baik tanpa mengira kaum. Tahun ini tiada bezanya.

    Meskipun negara masih dibelenggu pandemik COVID-19, penyanyi veteran berusia 74 tahun itu tetap teruja untuk menyambutnya bersama kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) termasuk sindrom down, di samping warga emas di rumah kebajikan. 

    Sebenarnya ada cerita di sebaliknya mengapa pemilik nama sebenar Irwan Shah Abdullah yang cukup popular dengan lagu Kini Ku Menangis Lagi, Seruling Kasih dan Di Desa Kasih Ku Tertumpah ini sangat menghargai golongan OKU, selain anak-anak yatim dan fakir miskin.

     Terkesan permintaan peminat

    Berkongsi kisah dengan Bernama, beliau berkata, perjalanan kariernya sebagai seorang anak seni sebenarnya dicetuskan secara tidak sengaja oleh seorang remaja lelaki tempang ketika mendapat jemputan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyanyi sekitar tahun 70an. 

    “Ketika itu saya bekerja sebagai pegawai pos di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur. Menyanyi masa tu sebagai hobi sahaja, sehinggalah saya dijemput untuk membuat persembahan menyanyi lagu Hindustan di sebuah pusat OKU sekitar tahun 1971. 

    “Saya didatangi oleh seorang remaja lelaki tempang selepas membuat persembahan dan beliau bertanya kenapa saya tidak menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu kerana dia amat menyukainya (lagu dalam bahasa Melayu).

    DJ Dave tetap teruja untuk menyambut hari lahirnya bersama kanak-kanak kurang upaya (OKU) termasuk sindrom down, di samping warga emas di rumah kebajikan. – Bernama
    DJ Dave menjadi pengasas dan duta kepada produk beliau sendiri iaitu Kopi Mata Cenroma yang turut dilancarkan di majlis tersebut. – Bernama
    Sambutan ulang tahun DJ Dave setiap tahun tidak bermakna tanpa meraikannya dengan golongan OKU yang banyak mengubah perjalanan hidupnya sebagai seorang anak seni. – Bernama
    Tanggal 14 Februari adalah hari istimewa buat penghibur terkenal negara, Datuk DJ Dave kerana ia adalah hari ulang tahun kelahirannya. – Bernama

    “Saya sangat terkesan dengan permintaannya yang tidak dapat ditunaikan itu kerana saya tidak berapa fasih dalam bahasa Melayu, sehingga saya tidak boleh tidur pada malam itu memikirkan tentangnya,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-74 di Pusat Kanak-Kanak Cacat Taman Megah, Kuala Lumpur baru-baru ini. 

    Berkongsi lanjut, DJ Dave yang turut terkenal dengan lagu raya antaranya Menjelang Hari Raya dan Suara Takbir berkata, apabila ditukarkan ke pejabat pos cawangan Seksyen 17, Petaling Jaya, kebetulan ia terletak berdekatan dengan sebuah studio rakaman. 

    “Ketika itu, ada uji bakat, saya saja suka-suka untuk mencuba dan memberitahu pengurus studio itu tentang hasrat saya untuk bergelar penyanyi. 

    “Namun, pengurus itu menolak hasrat saya dengan alasan saya tidak fasih berbahasa Melayu memandangkan saya lulusan sekolah Inggeris.

    Tambahan pula ketika itu lagu-lagu Melayu merupakan hits di radio dan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

    Belajar bahasa Melayu

    Bermula daripada saat itu, beliau menyahut cabaran untuk memperbaiki tahap penguasaan bahasa Melayunya dengan bantuan rakan sekerja. 

    “Saya melatih diri untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan rakan sekerja dan kami ada satu peraturan yang sangat lucu di mana jika tersasul atau tersilap, setiap orang akan didenda lima sen. 

    “Pada masa itu, lima sen nilainya sangat besar dan duit itu kami belanja untuk makan roti canai beramai-ramai,” katanya disusuli ketawa besar mengenangkan kenangan lama. 

    Selepas enam bulan, beliau pergi berjumpa dengan pengurus studio itu semula untuk mencuba nasib dan akhirnya diterima untuk merakamkan empat buah lagu Melayu dalam bentuk piring hitam (EP). 

    “Saya masih ingat lagi saya menggunakan duit simpanan sendiri untuk membuat EP dan selepas itu kesemua lagu mendapat sambutan hits dalam radio, terutamanya Maafkanlah yang merupakan lagu Hindustan yang ditulis semula dalam bahasa Melayu. 

    “Saya sungguh tidak menyangka permintaan seorang remaja lelaki OKU sebelum ini telah mengubah hidup serta mencetuskan perkembangan karier seni saya sepanjang 50 tahun ini,” katanya, menambah demi peminat beliau sanggup belajar untuk mengukuhkan sebutan bahasa Melayu.

     Rahsia awet muda

    Ditanya mengenai rahsia ‘awet muda’, datuk kepada tujuh orang cucu ini berkata, beliau mengamalkan gaya hidup sihat kerana sebagai penyanyi, adalah penting untuk mempunyai disiplin yang tinggi seperti bangun pagi dan mengamalkan senaman pernafasan untuk menjaga suara. 

    “Bagi saya, kalau mahu menjadi penyanyi, seseorang perlu ada disiplin, itu paling penting.

    Saya, sehingga hari ini masih amalkan senaman pernafasan untuk menjaga suara.

    “Selain itu, saya juga aktif bersukan seperti bermain badminton,  menjaga makan dengan tidak berlebihan dan tidur awal,” katanya. 

    Sebagai artis veteran juga, beliau percaya bahawa gaya hidup sihat boleh membuatkan seseorang sentiasa bahagia dan berkongsi kegembiraan dengan insan lain. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    2 ditahan lepaskan tembakan ke rumah bintang Bollywood

    AHMEDABAD, 16 APRIL – Dua anggota kumpulan penjenayah terkenal ditahan polis India hari ini kerana melepaskan tembakan ke arah rumah pelakon Bollywood, Salman Khan...