Djokovic belum pasti sertai Terbuka AS

BELGRADE, 9 JULAI – Novak Djokovic, yang baru-baru ini menjalani ujian COVID-19 dan telah disahkan negatif selepas menganjurkan kejohanan tenis amal di Balkan, mengatakan semalam bahawa dia masih tidak pasti sama ada dia akan bermain di Terbuka AS atau tidak.

“Saya masih tidak tahu sama ada saya akan bermain di Terbuka AS,” kata pemain nombor satu dunia tenis itu kepada Sportski Zurnal Daily.

“Saya pasti tidak akan bermain di Washington atau Cincinnati seperti yang dirancang.”

Jelajah ATP dan WTA akan disambung semula bulan depan, walaupun beberapa pemain profesional telah diijangkiti COVID-19. Terbuka AS akan menjadi Grand Slam pertama kembali semula di stadium tertutup di New York pada 31 Ogos.

Djokovic meneruskan latihan kelmarin dan mengatakan dia akan mengambil bahagian dalam kejohanan tanah liat.

“Penyertaan di Roland Garros sudah pasti buat masa ini, Madrid dan Rom adalah sebahagian daripada agenda saya,” katanya

Pemain dari Serbia itu mengatakan bahawa dia berpendapat sistem ranking ATP yang disemak semula, yang akan diperkenalkan pada bulan Ogos, tepat sekali. Djokovic mengatakan pada 2 Julai bahawa dia dan isterinya Jelena telah disahkan negatif setelah menjalani ujian COVID-19 semasa Jelajah Adria pada akhir bulan Jun.

Pasangan itu telah melakukan pengasingan diri sejak kembali ke Belgrade dari Croatia, di mana perlawanan kedua kejohanan diadakan. Empat pemain lain selain Djokovic iaitu Grigor Dimitrov, Borna Coric dan Viktor Troicki diuji positif virus itu selepas acara yang tidak melakukan penjarakan sosial dan penuh sesak. – AFP

Reaksi Novak Djokovic semasa perlawanan beregu bersama Jelena Jankovic menentang Nenad Zimonjic dan Olga Danilovic di kejohanan amal Jelajah Adria, di Belgrade, Serbia pada 12 Jun lalu. – AP