LONDON, 25 Jun – Novak Djokovic mengakui dia kini sukar menjadi pencabar kejuaraan Wimbledon selepas dikecewakan Marin Cilic, 5-7, 7-6(4), 6-3 pada perlawanan akhir Kejohanan Queen’s Club, hari ini.
Djokovic terlepas peluang terbaik merangkul trofi pertama dalam masa 12 bulan apabila meraih mata akhir pada set kedua namun gagal disempurnakan. Pemain berusia 31 tahun itu juga melepaskan peluang menamatkan permainan selepas mendahului 4-1 pada tie-break set kedua.
“Saya bukan pencabar Wimbledon atau apa sahaja trofi seperti itu,” kata Djokovic yang tewas pada set penentuan di tangan Cilic.
Dengan Wimbledon bermula pada 2 Julai depan, pemain Serbia itu hanya mempunyai seminggu untuk memperbaiki prestasi jika mahu merampas trofi berprestij itu yang kini disandang Roger Federer.

Djokovic, juara Grand Slam 12 kali yang belum lagi memenangi sebarang trofi sejak Eastbourne pada Julai lalu mengakui dia tidak boleh lagi sambil lewa jika mahu mencipta impak di Wimbledon.
“Saya sedar tak boleh menaruh harapan tinggi berdasarkan prestasi saya 12 bulan kebelakangan ini,” katanya.
“Saya fikir semua orang tahu Roger kekal pilihan utama tetapi cabaran Cilic tidak boleh dipandang ringan.”
Djokovic kini berada di ranking ATP ke-22 selepas tersingkir di peringkat suku akhir Terbuka Perancis, awal bulan ini. – AFP

































