Djokovic buru gelaran Grand Slam ke-21

SYDNEY, 25 NOV – Juara Terbuka Australia sembilan kali, Novak Djokovic tidak mungkin berdepan risiko terlepas daripada aksi kejohanan Terbuka Australia dan memenangi gelaran Grand Slam ke-21, ramal ketua kejohanan, Craig Tiley hari ini ketika siri acara tersebut diumumkan.

Semua pemain yang mengunjungi Australia untuk acara pembukaan pada Januari mesti menerima suntikan vaksin COVID-19, justeru menimbulkan keraguan mengenai sama ada pemain nombor satu dunia Serbia itu akan mengambil bahagian.

Djokovic, yang menyasarkan untuk memenangi gelaran Slam ke-21, enggan mendedahkan sama ada dia telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Dia belum berkongsi statusnya dengan sesiapa,” beritahu Tiley kepada stesen radio sukan SEN.

“Dia percaya apa yang awda katakan mengenai dasar kesihatan awda adalah bersifat peribadi dan dia percaya orang harus diberi hak untuk membuat pilihan.”

Aksi Novak Djokovic mengembalikan bola kepada Alexander Zverev semasa perlawanan Final ATP di Pala Alpitour di Turin, Itali pada 20 November. Djokovic dijangka sertai Terbuka Australia yang bakal diadakan pada Januari. – AP

Namun Tiley menambah: “Novak telah memenangi sembilan kejuaraan Terbuka Australia dan saya yakin dia mahu mendapatkan yang ke-10.

“Dia memasang cita-cita untuk memenangi 20 gelaran Grand Slam, begitu juga Rafa Nadal, yang hampir mencapainya dan Roger Federer, maka salah seorang di antara mereka akan mengatasi pemain lain.

“Saya tidak fikir Novak mahu melepaskan kemenangan tersebut kepada orang lain.

“Namun satu perkara sudah pasti, jika dia bermain di sini pada Januari, maka dia mesti menerima suntikan vaksin.”

Djokovic berkata pada hujung minggu lalu bahawa ‘kami perlu menunggu dan melihat’ apabila ditanya sama ada dia akan berada di Melbourne Park untuk mempertahankan gelarannya. – AFP