INDIAN WELLS, 9 MAC – Novak Djokovic (gambar) semalam dimasukkan dalam senarai undian kejohanan ATP/WTA Indian Wells minggu ini namun masih belum jelas sama ada pemain kelahiran Serbia itu akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut, kata penganjur.
Satu kenyataan daripada penganjur kejohanan berkata pegawai sedang berhubung dengan pasukan Djokovic untuk memutuskan sama ada dia akan bermain di California atau dibenarkan memasuki Amerika Syarikat disebabkan dia belum menerima vaksin terhadap COVID.
“Nama Djokovic berada dalam senarai pemain untuk kejohanan ini dan jadi dia diletakkan dalam undian. Kami sentiasa berhubung dengan pasukannya.
“Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada dia akan menyertai kejohanan ini dengan mendapatkan kelulusan CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS) untuk memasuki negara ini,” kata penganjur.
Djokovic ialah juara lima kali di Indian Wells, di mana penganjur berkata bukti vaksinasi lengkap diwajibkan untuk penonton memasuki premis kejohanan di padang pasir California.
Laman web CDC pada 3 Mac menunjukkan bahawa bukan warganegara AS yang bukan pendatang mesti menunjukkan bukti vaksinasi terhadap COVID untuk melakukan perjalanan melalui udara.
Djokovic tidak dapat bertanding di Terbuka Australia selepas pihak imigresen menahannya pada 6 Januari kerana tidak memenuhi syarat-syarat pengembara tanpa vaksin yang cuba memasuki negara itu. Visanya ke negara berkenaan dibatalkan pada akhir bulan berkenaan. – AFP