Djokovic dedah ‘kelemahan’ Andy Murray

MELBOURNE, 10 Jan – Pemain jaguh tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic mendedahkan kelemahan Andy Murray semasa dalam satu latihan menjelang saingan Terbuka Australia, dengan kutipan mata 6-1, 4-1.

Juara major tiga kali, Murray kini kembali selepas terpaksa berehat selama 11 bulan berikutan kecederaan pinggul yang menyaksikan kedudukannya jatuh di tangga ke-230 dunia.

Minggu lalu, dia terpaksa menarik diri daripada saingan Antarabangsa Brisbane ketika menentang pemain Rusia, Daniil Medvedev dan menumpukan perhatiannya ke Melbourne untuk kekal cergas dan memerlukan masa untuk berlatih.

Pencabar lama dan juara enam kali Terbuka Australia, Djokovic menjemput Murray untuk berlatih dengannya, namun Murray terpaksa berhenti selepas kurang sejam dengan pergerakannya yang terhad di sekitar gelanggang itu.

Kedua-dua pemain itu pernah bertemu empat kali dalam perlawanan akhir Terbuka Australia, dengan kesemua perlawanan itu dimenangi oleh pemain dari Serbia itu.

Saingan pembukaan Grand Slam edisi kali ini akan bermula pada Isnin depan di Melbourne Park.

“Saya masih mengalami sedikit kesakitan pada pinggul saya. Namun saya berasa lebih baik berbanding beberapa bulan kebelakangan,” kata Murray. – AFP