Djokovic hampiri rekod Sampras

VIENNA, 28 OKT – Novak Djokovic menewaskan Filip Krajinovic pada pusingan pertama di Vienna untuk menghampiri rekod sepanjang zaman Pete Sampras pada akhir tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia dalam enam edisi berbeza.

Djokovic menewaskan rakan senegara Krajinovic 7-6 (8/6), 6-3 dan perlu memenangi perlawanan seterusnya di Austria menentang Borna Coric untuk memastikan dia menyamai rekod pencapaian idola zaman kanak-kanaknya itu.

Bintang Serbia berusia 33 tahun itu telah berada di ranking teratas kejohanan tenis pada penghujung musim lima kali iaitu pada 2011, 2012, 2014, 2015 dan 2018.

Dia bergilir-gilir berada di puncak bersama saingan utamanya, Roger Federer dan Rafael Nadal.

Sampras melakar kejayaan berada di ranking pertama antara 1993 dan 1998.

Aksi Djokovic ketika mengembalikan bola kepada Filip Krajinovic dari Serbia semasa pusingan pertama kejohanan tenis ATP Terbuka Erste Bank di Vienna, semalam. – AFP

Djokovic beraksi di Vienna buat pertama kali sejak memenangi kejuaraan di situ pada 2007, dia meneruskan saingan selepas mencatat kemenangan ke-38 dalam 40 perlawanan tahun ini.

“Set pertama, saya fikir dia pemain yang lebih baik. Dia melakukan pukulan servis pada set pertama dan saya bernasib baik. Dia terlepas pukulan ketika kedudukan 6/6 dalam tie-break,” kata Djokovic.

“Beberapa mata sahaja akan mengubah momentum perlawanan. Dalam set kedua, saya bangkit memperbaiki permainan dan saya gembira dengan cara saya menamatkan perlawanan itu.”

Juara gelaran Grand Slam 17 kali itu, tampil pada kejohanan pertamanya sejak kalah teruk menentang Nadal pada final di Roland Garros, dua minggu lalu.

Djokovic juga dalam cubaan mengatasi rekod sepanjang masa Federer yang berada di kedudukan ranking teratas pemain dalam tempoh 310 minggu. – AFP