Djokovic kejar trofi ke-18 Grand Slam

NEW YORK, 30 OGOS – Kejohanan Terbuka AS telah memberikan pemain rangking teratas, Novak Djokovic peluang untuk mencatat kemenangan dengan ketiadaan Roger Federer dan Rafael Nadal dalam mengejar rekod kejuaraan Grand Slam perseorangan terbaik sepanjang zaman.

Tetapi beberapa orang pemain muda yang meningkat naik merebut peluang untuk mara apabila perlawanan di New York akan bermula esok di gelembung kuarantin COVID-19 tanpa kehadiran peminat di Pusat Tenis Kebangsaan AS.

“Perasaan yang ganjil untuk melihat tempat duduk peminat yang kosong. Suasana yang sangat ganjil,” kata Djokovic. “Tetapi kita perlu menerima semua ini, kami terpaksa menanganinya dan cuba untuk membiasakan diri.”

Pilihan utama, Djokovic, yang telah memenangi lima dari tujuh kejuaraan Grand Slam, meningkat kepada 23-0 tahun ini pada kelmarin setelah menewaskan pemain dari Kanada, Milos Roanic dalam final ATP Western & Southern, yang turut dilangsungkan di New York.

“Masih belum mencatat keputusan tewas setakat ini pada tahun ini jelas sekali memberikan lebih banyak keyakinan dalam setiap perlawanan,” menurut Djokovic. “Saya hanya cuba untuk menikmati perlawanan dan cuba untuk memenangi perlawanan.”

Meskipun masalah ketegangan leher, Djokovic telah menunjukkan dia kekal menjadi cabaran dalam perlawanan Flushing Meadows ketika dia cuba untuk memecahkan rekod tenis. – AFP