PARIS, 24 MEI – Juara bertahan Novak Djokovic mencatat kemenangan dalam straight set semasa membuat kepulangan kembali beraksi di Grand Slam di Terbuka Perancis kelmarin, sementara Rafael Nadal melakar kemenangan mudah ketika dia memburu kejuaraan Roland Garros ke-14.
Djokovic berjaya menewaskan pemain ranking ke-99 Yoshihito Nishioka dari Jepun 6-3, 6-1, 6-0 di Court Philippe Chatrier.
“Saya membuat persiapaan untuk kejohanan ini sama seperti pertandingan lainnya, dengan intensiti dan cita-cita yang tinggi,” kata Djokovic.
“Secara keseluruhannya saya bermain dengan baik,” tambahnya.
Pemain pilihan utama Serbia itu, yang menyambut hari kelahiran ke-35 Ahad lalu, beraksi dalam kejohanan pertamanya sejak tewas di final Terbuka AS September lalu.
Percubaannya untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia pada Januari lalu berakhir dengan kekecohan dan kontroversi apabila dia diusir dari Melbourne kerana enggan mendapatkan suntikan vaksin.
Pada aksi kelmarin, Djokovic mencatat rekodnya dalam perlawanan pusingan pertama di Roland Garros dengan kemenangan 18-0 ke atas Nishioka selepas menghasilkan lapan daripada 18 break points.
Djokovic seterusnya akan bertemu sama ada Alex Molcan dari Slovakia atau Federico Coria dari Argentina.
Molcan, naib juara di Lyon pada hujung minggu lalu, dibimbing oleh Marian Vajda iaitu bekas jurulatih Djokovic. – AFP