Djokovic langkah kanan di terbuka AS

NEW YORK, 1 SEPT – Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic melakarkan kemenangan walaupun tanpa mempamerkan aksi terbaiknya untuk mara ke pusingan kedua semalam di Terbuka Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menambah gelaran Grand Slam dan me-rangkul kejuaraan utama ke-21nya.

Pemain Serbia berusia 34 tahun itu mendominasi perlawanan sebelum menewaskan pemain kelayakan dari Denmark berusia 18 tahun, Holger Rune 6-1, 6-7 (5/7), 6-2, 6-1 selepas beraksi dua jam 15 minit di Stadium Arthur Ashe.

“Ia bukan aksi terbaik saya,” kata Djokovic. “Pada masa yang sama dia bermain dengan lebih cemerlang di set kedua dan saya pula tidak bermain dengan baik di set kedua.

Djokovic yang sedang mengejar untuk melakar sejarah, menang lapan daripada 12 gelaran Grand Slam, selepas ini akan berdepan pemain Belanda yang menduduki ranking ke-121 dunia, Tallon Griekspoor, mengakui bahawa dia tidak banyak mengetahui mengenai pemain itu.

“Saya tahu selok-belok gelanggang ini. Saya harap ia akan membantu saya,” katanya.

Aksi Novak Djokovic dari Serbia semasa mengembalikan bola kepada Holger Rune dari Denmark dalam perlawanan pusingan pertama perseorangan lelaki Tenis Terbuka AS 2021 di Pusat Tenis Nasional USTA Billie Jean King di New York, semalam. – AFP

Djokovic akan menjadi pemain lelaki pertama melengkapkan kalendar Grand Slam tahun ini sejak Rod Laver pada 1969 jika dia memenangi gelaran itu di New York.

Dia juga akan turut memecahkan pencapaian sepanjang zaman dengan 20 gelaran Slam yang dikongsi bersama Roger Federer dan Rafael Nadal, kedua-duanya tidak beraksi kerana kecederaan, begitu juga juara bertahan Dominic Thiem.

Rune, yang berada di kedudukan ke-145, mula mengalami kekejangan di set ketiga dan bergelut untuk menamatkan perlawanan.

“Dari permainan ketiga atau keempat di set ketiga, dia tidak dapat bergerak banyak,” kata Djokovic. “Anda dapat melihat dia banyak bergelut. Saya memahami perasaannya.”

Djokovic memenangi set pertama dalam 26 minit, ketinggalan 3-0 pada set kedua, di mana Rune meraih kemenangan dalamset itu selepas mendahului 6-3.

Pada set ketiga, Djokovic mendahului 3-1 dan Rune mula mendapatkan rawatan di antara permainan dan bergelut hingga akhir perlawanan. – AFP