Djokovic lepas ‘geram’ di Shanghai

SHANGHAI, 11 Okt. 2018 – Novak Djokovic beraksi mantap hari ini selepas menempah tiket di peringkat suku akhir Shanghai Masters dengan kemenangan 6-4, 6-0 ke atas Marco Cecchinato.

Sebelum ini, pemain pilihan kedua dari Serbia itu dikejutkan apabila tewas kepada pemain dari Itali yang berada dalam ranking ke-72 dunia ketika itu semasa di peringkat suku akhir kejohanan Terbuka Perancis awal tahun ini.

Ia merupakan sebahagian daripada aksi hambar Djokovic pada separuh pertama tahun ini selepas pembedahan siku pada Februari lalu.

Namun pemain ranking ketiga dunia itu bangkit kembali di kejohanan musim panas dan memenangi kejohanan Wimbledon, Cincinnati Masters dan Terbuka AS.

Pemain berusia 31 tahun, yang mahu merampas ranking nombor satu yang dipegang oleh Rafael Nadal, berkata dia kembali dekat dengan bentuk permainan baik yang membawa dia memenangi gelaran juara Grand Slams sebanyak 14 kali.

Novak Djokovic ketika beraksi menentang Marco Cecchinato di kejohanan Shanghai Masters, kelmarin. – AFP

Dia membuktikannya lagi semasa menentang pilihan ke-16, Cecchinato, yang berjaya ditewaskan dalam masa kurang dari 70 minit.

Djokovic dijadualkan akan beraksi menentang antara pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson atau pemain Greece, Stefanos Tsitsipas di peringkat suku akhir.

Sementara itu, bintang muda yang semakin menyerlah, Alexander Zverev juga beraksi cemerlang ketika dia menyingkirkan pemain nombor satu Australia, Alex de Minaur dengan kemenangan 6-1, 6-4.

Pilihan keempat Jerman itu akan berdepan pilihan ke-11 Kyle Edmund dalam perlawanan lapan terakhir.

Zverev, 21 tahun, beraksi mantap ketika dia memenangi set pertama hanya dalam masa 29 minit, walaupun lawannya yang berusia 19 tahun menunjukkan lebih banyak pertarungan di set kedua.

Sementara itu, permain pilihan pertama Britain, Edmund berjaya mengalahkan pemain Chile, Nicholas jarry 7-6 (7/5), 6-3. – AFP