EASTBOURNE, United Kingdom, 28 Jun – Pilihan utama Novak Djokovic lulus ujian gelanggang rumput pertamanya musim ini selepas menewaskan pemain kelayakan Kanada Vasek Pospisil 6-4, 6-3 untuk mara ke peringkat suku akhir di Eastbourne.
Pemain Serbia itu bermain acara pra-Wimbledon buat pertama kali sejak 2010 dan akan berdepan sama ada Donald Young atau Jared Donaldson di pusingan seterusnya.
Juara Wimbledon tiga kali itu masuk ke gelanggang bagi perlawanan pertama selepas hujan terpaksa menangguhkan perlawanan kelmarin.
Bekas pemain nombor satu dunia itu meraih kemenangan kelimanya menentang Pospisil yang kini mempunyai rekod 4-22 melawan lawan 10 terbaik dunia.
“Itu adalah perlawanan gelanggang rumput pertama rasmi saya tahun ini,” ujar Djokovic.

“Saya gembira untuk datang ke sini di Eastbourne. Saya menikmati beberapa hari latihan yang dengan pemain yang baik-baik, gaya permainan yang berbeza.
“Kelmarin setentunya bukan hari yang menyeronokkan apabila hujan turun sepanjang hari.
“Namun hari ini hampir kesemuanya bermain perlawanan penuh, saya bersyukur untuk itu. Saya berasa bagus di gelanggang, meskipun ia perlawanan pertama saya.
“Saya bermain menentang seorang lawan yang memiliki mainan bagus di permukaan rumput. Memiliki servis bagus, mudah bergerak ke depan dan mempunyai kepelbagaian mainan.
“Ia satu kemenangan yang kukuh. Saya gembira dengannya.”
Djokovic yang akan dinasihatkan oleh Andre Agassi di Wimbledon adalah pemain lelaki ranking kedua tertinggi yang pernah bertanding di Aegon International di belakang pemain nombor dua Marcelo Rios satu ketika dahulu dalam tahun 1998. – AFP