PARIS, 28 Mei – Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic (gambar bawah) berkata dia ‘boleh melakar satu lagi sejarah’ dengan menjulang empat gelaran Grand Slam berturut-turut buat kali kedua selepas melepasi pusingan pertama Terbuka Perancis, semalam.
Djokovic membuka kempennya di Roland Garros dengan menewaskan pemain muda Poland, Hubert Hurkacz 6-4, 6-2, 6-2.
Bintang kelahiran Serbia itu berada dalam senarai tiga pemain, termasuk Don Budge dan Rod Laver pernah memenangi empat gelaran Grand Slam berturut-turut tetapi satu-satunya kemenangannya di Terbuka Perancis adalah pada 2016.
Dia turut berpeluang mengikuti langkah legenda Australia, Laver untuk mencapai kejayaan berprestij itu sebanyak dua kali jika menang di pentas final yang dijadual pada 9 Jun ini.
“Saya meletakkan diri saya dalam situasi di mana saya boleh melakar sejarah dalam dunia tenis sekali lagi dan jelas saya mempunyai cita-cita yang amat tinggi bagi kejohanan ini,” kata Djokovic.
“Ia bukan rahsia. Tetapi pada masa sama, ia bukan kali pertama saya berdepan dengan keadaan ini. Ia bukanlah Grand Slam pertama dalam karier saya. Saya sudah mengharunginya banyak kali.
“Saya tahu yang ia akan menjadi dua minggu yang panjang, dan saya hanya perlu berada dalam keadaan mental yang baik, dan melakukan kerja yang pernah mendatangkan kejayaan kepada saya sebelum ini.”
Kurang 12 bulan lalu, Djokovic terkeluar daripada kelompok 20 pemain terbaik dunia susulan kekalahan mengejut di suku akhir di Roland Garros dan sekali pun menyuarakan hasrat untuk tidak bermain di Wimbledon selepas itu, dia kembali menduduki tangga teratas rangking dunia. – AFP