Djokovic mara, Federer rebah

CINCINNATI, 16 OGOS – Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, mendapati laluannya lancar menuju ke final ATP Cincinnati Masters selepas menghasilkan kemenangan mudah, sementara pemain pilihan ketiga, Roger Federer, terkandas keluar daripada kejohanan tersebut.

Djokovic tidak pernah rasa terancam dalam kemenangan 6-3, 6-4 ke atas pemain ranking ke-53, Pablo Carreno Busta, yang ditewaskannya dalam masa 90 minit.

Federer pula kecundang dalam pertemuan pertama dengan Andrey Rublev dari Rusia, 6-3, 6-4.

Juara bertahan, Djokovic akan meneruskan misinya dalam saingan suku akhir pagi esok, dengan menentang Lucas Pouille, yang menang 6-7 (3/7), 6-4, 6-2 ke atas Karen Khachanov.

“Saya sangat teruja dengan kemenangan hari ini. Saya menewaskan pemain yang berkualiti tinggi. Ia kemenangan dua set tetapi keputusan itu tidak menggambarkan bagaimana sukarnya perlawanan ini,” kata Djokovic.

Juara tujuh kali Cincinnati, Federer, memasuki usia 38 tahun minggu lepas, gagal memberikan impak ke atas Rublev, yang hanya bermain dalam perlawanan keduanya sejak tewas di final Wimbledon kepada Djokovic.

Rublev, 21, pemain kelayakan dari Rusia yang terlepas sebahagian besar persaingan musim lepas disebabkan kecederaan, terkejut besar atas kemenangannya itu. – AFP

Djokovic membalas pukulan ketika menentang Pablo Carreno Busta dalam saingan ATP Cincinnati Masters kelmarin. – AP