Djokovic mara separuh akhir Final ATP

TURIN, 18 NOV – Novak Djokovic mara ke saingan empat terakhir Final ATP buat kali ke-10 selepas mudah menewaskan Andrey Rublev di Turin kelmarin.

Pemain nombor satu dunia itu yang berusaha menyamai rekod enam gelaran milik Roger Federer di kejohanan penamat musim tiada masalah mengatasi pilihan kelima Rublev 6-3, 6-2 untuk kemenangan ke-50 tahun ini.

Djokovic yang dua kali meraih kemenangan straight-set berturut-turut kini muncul pendahulu Kumpulan Hijau.

“Saya melakukan servis dengan bagus dan ia banyak membantu saya,” kata Djokovic.

“Saya mahu membuatkan dia keluar daripada zon selesa, mengambil masa dan mempelbagaikan kepantasan. Secara keseluruhan, ia satu persembahan yang hebat.”

Dalam perlawanan lain, pemain Norway, Casper Ruud menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Britain, Cameron Norrie 1-6, 6-3, 6-4.

Djokovic yang berusia 34 tahun dalam misi melengkapkan tahun gemilang selepas terlepas melengkapkan kalendar Grand Slam apabila tewas kepada Daniil Medvedev di final Terbuka AS.

Dia akan menentang Norrie dalam aksi terakhir peringkat kumpulan esok. Pemain Serbia itu gagal menjuarai Final ATP sejak 2015 apabila tewas pada edisi 2016 dan di tangan Andy Murray dan Alexander Zverev manakala tersingkir semasa menentang Dominic Thiem pada separuh akhir tahun lalu.

Juara Grand Slam 20 kali itu terbukti terlalu kuat untuk Rublev, memberikan 14 servis cemerlang dan memperoleh 19 mata sebelum menewaskan pencabarnya. – AFP

Reaksi Novak Djokovic selepas menewas-kan Andrey Rublev semasa perlawanan perseorangan pusingan pertama ATP Final di Pala Alpitour di Turin pada 17 November. – AFP