LONDON, 4 JULAI – Juara enam kali, Novak Djokovic, mara ke suku akhir Wimbledon ke-13 kelmarin ketika Roger Federer mendedahkan keinginannya untuk bermain di Kelab All England sekali lagi.
Pilihan utama, Djokovic, berusaha untuk menyamakan kedudukan dengan Pete Sampras sebagai juara tujuh kali dengan menewaskan wildcard Belanda, Tim van Rijthoven, 6-2, 4-6, 6-1, 6-2.
“Dia terlalu hebat. Saya tidak pernah berdepan dengannya sebelum ini,” kata Djokovic selepas meraih kemenangan ke-25 berturut-turut.
“Dia mempunyai servis yang hebat, pukulan depan yang kuat dan sentuhan yang bagus,” tambahnya.
Awal kelmarin, pemenang utama 20 kali, Djokovic, juga telah menyaksikan pilihan kelima Carlos Alcaraz, lawannya yang dijadualkan pada pusingan lapan terakhir, ditewaskan di tangan Jannik Sinner.
Pemain Itali berusia 20 tahun itu meraih kemenangan 6-1, 6-4, 6-7 (8/10), 6-3 bagi menetapkan pertemuan dengan pilihan utama.
Sinner, yang tidak pernah memenangi perlawanan di gelanggang rumput sebelum ini, ialah pemain termuda dalam kelompok lapan terakhir sejak Nick Kyrgios pada 2014.
Aksi di Centre Court didahului dengan perarakan juara-juara bagi menandakan ulang tahun ke-100 stadium tersebut.
Salah seorang daripada mereka ialah juara lapan kali, Federer, yang tidak dapat beraksi pada kejohanan 2022 ketika dia meneruskan pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut.
Walau bagaimanapun, dia menegaskan bahawa dia merancang untuk kembali bermain pada 2023.
“Saya harap saya boleh bermain sekali lagi,” kata pemenang 20 kali Grand Slam itu. – AFP